RASUAH POLITIK
Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 11, 2008 3:51 PM
1) Di waktu kita pinda perlembagaan Umno supaya sesiapa yang ingin bertanding jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan 30% daripada bahagian atau 60 bahagian, tujuan kita ialah untuk jawatan itu tidak ditandingi oleh orang yang tidak serius dan juga supaya wang tidak dapat disogok kepada jumlah bahagian yang begitu banyak.
2) Syarat ini dipercayai tidak akan menghalang mereka yang betul-betul berbakat untuk melayakkan mereka bertanding.
3) Sebelum ini dalam pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden walaupun saya sendiri dapat pencalonan daripada bahagian amat banyak tetapi undi yang saya dapat di Perhimpunan Agong amat kecil. Hanya 43 sahaja lebih daripada lawan saya. Dipercayai ada sesuatu yang berlaku kepada wakil-wakil setelah sampai ke Perhimpunan Agong. Pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan supaya sesiapa yang dicalonkan oleh bahagian akan dapat 10 undi bonus. Peruntukan ini tidak berkesan. Justeru itu diperkenal sistem kuota seperti yang terdapat sekarang.
4) Kita tidak sangka yang syarat ini pun boleh disalahgunakan dengan cara lain. Amat malang bagi Umno dan orang Melayu. Kita lihat sekarang bagaimana syarat ini diguna untuk menghalang sebarang cabaran terhadap Presiden semasa, dengan tujuan supaya Presiden dan juga Timbalan Presiden tidak ditandingi sama sekali.
5) Cara yang digunakan amatlah kotor. Jauh daripada menunjuk teladan yang baik bagi pemimpin-pemimpin lain dan ahli-ahli Umno, Presiden sendiri yang mula menggunakan wang dan salahguna kuasa untuk mendapat pencalonan bagi diri sendiri dan menghalang pencalonan bagi orang lain. Tidak ada guna menafikan yang semua ini berlaku kerana terlalu ramai yang terlibat dalam kegiatan ini dan terlalu ramai yang bercakap berkenaannya.
6) Sekarang kita dengar aduan daripada seorang Ketua Bahagian kepada Setiausaha Agong Umno. Aduan ini menyatakan bahawa sementara Ibu Pejabat Umno melarang cawangan dan bahagian daripada berkempen untuk apa-apa jawatan di peringkat cawangan dan bahagian, Presiden sendiri giat berkempen untuk dirinya dicalonkan sebagai Presiden.
7) Kempen ini seperti disebut diatas disertai dengan hadiah kain, sejadah dan wang tunai sebanyak 50 hingga 100 Ringgit, sementara semua perbelanjaan perjalanan daripada bahagian-bahagian seluruh negara, penginapan di hotel mewah dan makan minum selama berada di KL ditanggung.
8) Dalam pada itu Presiden memujuk Timbalan Presiden, Dato Seri Najib Razak, supaya tidak melawannya bertanding Presiden pada Disember ini, dengan menawar hadiah jawatan Presiden dan Perdana Menteri kepada Dato Seri Najib pada Jun 2010. Ini jelas satu jenis rasuah politik yang tidak harus dilakukan oleh Presiden Umno yang melarang sebarang jenis rasuah dalam pemilihan ketua-ketua cawangan dan bahagian dan Majlis Tertinggi Umno.
9) Perbuatan Presiden tidak terhad kepada memanggil pemimpin cawangan sahaja. Ada bukti yang gula-gula dan ugutan dibuat supaya semua ketua bahagian dan jawatankuasa bahagian ikut telunjuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan akan calon hanya dia seorang untuk jawatan Presiden dan Dato Seri Najib untuk Timbalan Presiden. Dengan mengguna rasuah, ugutan dan pelbagai cara tekanan, bahagian-bahagian tidak akan calon sesiapa lain. Sudah tentu calon-calon lain tidak akan dapat cukup bilangan pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
10) Bahawa rasuah dan tekanan diguna dilaporkan oleh ramai, tetapi tidak ada sesiapa yang berani mendakwa secara terbuka kerana takut tindakan diambil terhadap mereka. Lagipun mereka yang dahulu melapor bahawa mereka telah disogok dengan wang mendapati Jawatan Kuasa Disiplin Parti menolak "tuduhan" itu bulat-bulat. Bahkan laporan kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah) kes rasuah yang melibatkan seorang Timbalan Menteri didapati "tidak berasas" kerana yang dikatakan memberi wang rasuah menafi demikian. Justeru itu tidak ada yang sanggup membuat laporan lagi.
11) Sebab itu surat daripada Kapt. (B) Dato Zahar Hashim, Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang jelas mendakwa Dato Seri Abdullah melakukan "rasuah politik yang besar" amatlah berani dan luarbiasa. Didalamnya diceritakan bagaimana Dato Seri Abdullah berkempen untuk dirinya dan menyogok wang dan kain pelikat kepada pemimpin cawangan yang dibawa khas ke KL. Wang yang diguna adalah wang kerajaan iaitu peruntukan untuk JASA (Bahagian Khas) Kementerian Penerangan.
12) Tawaran oleh Dato Seri Abdullah dan penerimaan oleh Dato Seri Najib yang Dato Seri Najib tidak akan tanding jawatan Presiden lawan Dato Seri Abdullah dan dengan itu Dato Seri Abdullah akan beri jawatan Perdana Menteri pada Dato Seri Najib menjelang pertengahan tahun 2010 ditafsir dan ditakrif sebagai rasuah politik yang amat besar.
13) Kapt. (B) Zahar hanya meminta supaya pekeliling melarang kempen ditarik balik oleh ibu pejabat sehingga lepas pemilihan pada Disember 2008.
14) Tetapi veteran Umno dan bekas Ahli J.K. Pemuda (Dato' Mazlan Harun), berasas pada surat Kapt. (B) Zahar telah buat laporan kepada BPR bahawa Dato Seri Abdullah dan Dato Seri Najib telah melakukan rasuah politik dan salahguna kuasa kerajaan.
15) Saya percaya akhirnya surat dan laporan kepada BPR tidak akan menghasilkan apa-apa kerana ada sahaja alasan dan penjelasan yang akan diberi oleh kedua-dua pemimpin tertinggi Umno ini untuk "cover-up".
16) Pada pemilihan bulan Disember perwakilan Umno tetap akan akur dan pilih Presiden dan Timbalan Presiden seperti yang ditunjuk oleh Dato Seri Abdullah.
17) Tetapi rakyat Malaysia akan bertambah jelek dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya. Ini bukan lagi parti kebangsaan Melayu. Ini sudah jadi parti untuk orang-orang tertentu mendapat jawatan dan wang bagi diri mereka.
18) Dato Seri Abdullah, Dato Seri Najib dan lain-lain pemimpin Umno mungkin kekal dengan jawatan mereka dan akan terus jadi Menteri dan sebagainya tetapi ingat apa telah jadi kepada Tajol Rosli, Mahadzir Khalid dan Khir Toyo.
19) Apa telah jadi pada Awang Adek dan Annuar Musa dan ramai lagi pemimpin Umno yang lain.
20) Jawatan-jawatan mereka dalam parti mungkin kekal tetapi apabila rakyat tolak parti yang rasuah yang bergantung pada sogokan duit dan tekanan, ugutan dan salahguna kuasa, semua jawatan ini tidak berguna lagi.
21) Presiden tidak akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Presiden tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri. Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno jika menang pilihanraya pun akan jadi pembangkang seperti di Selangor, Perak dan Kedah.
22) Apabila parti sudah kalah ia akan hancur. Mereka yang tamak yang menggunakan cara yang haram untuk mengetuai parti akan dikutuk bukan sahaja oleh orang Melayu yang terima padahnya sekarang tetapi juga oleh pengasas-pengasas Umno yang sudah meninggal.
23) Ahli-ahli Umno yang mencari kesenangan, yang mengharap gula-gula dan kedudukan tertentu dan sanggup merestui perbuatan yang salah, perbuatan yang merosakkan parti, mereka akan menerima padahnya.
24) Hari ini pun kita sedang melihat bagaimana orang Melayu berada dalam keadaan tidak tentu arah, terancam, terpaksa menubuh badan-badan lain untuk mempertahankan hak mereka, berpecah dan bercempera dan umumnya hilang haluan.
25) Mereka ditohmah dan dipermainkan seolah-olah mereka menumpang di negeri orang.
26) Semua ini disebabkan oleh kepimpinan Umno yang rasuah dan ahli-ahli Umno yang tidak berani menegur, jauh sekali bertindak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment